KUALA LUMPUR: Pembangkang tidak melihat keperluan untuk membentangkan belanjawan alternatif, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha menambah baik dasar kerajaan yang disifatkan kurang memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
Menurut Sinar, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat seharusnya dimanfaatkan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan terhadap dasar sedia ada.
Beliau berkata penyediaan belanjawan alternatif tidak membawa manfaat sekiranya cadangan tersebut tidak dapat dilaksanakan.
“Sebagai pembangkang, orang selalu minta supaya kita ada alternatif bajet, (persoalannya) boleh laksana atau pun tidak?
“Ini tidak boleh dilaksanakan dan tidak akan dilaksanakan, jadi kita syok sendiri sahaja. Sebab itu yang kita nak adalah beri pandangan terhadap bajet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, pada Khamis.
Hamzah menegaskan, keutamaan pembangkang adalah meneliti serta mencadangkan pembetulan terhadap dasar kerajaan yang dilihat tidak memberikan manfaat terbaik kepada negara dan rakyat.
“Jadi apa yang kita lakukan adalah membetulkan polisi-polisi yang kita rasa tidak memberi manfaat lebih baik kepada negara dan rakyat,” katanya.







