KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyifatkan tindakan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sahaja sebagai tidak memadai jika benar terdapat bantahan terhadap keputusan berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Mohd Ridhuan menggesa agar peletakan jawatan itu dibuat secara bersama sekiranya mempunyai pendirian yang sama.
“Takkan seorang saja letak jawatan. Kalau ada maruah, letaklah semua.
“Nampak sangat hipokrit. Haramkan tangan undi harbi,” katanya.
Hantaran itu dipercayai merujuk kepada keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berhubung isu keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan tahanan rumah Najib.
Sebelum ini, Loke dilaporkan menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan pendirian beliau terhadap isu berkenaan.








