IPOH: Kerajaan Perak bercadang penubuhan tabung khas bagi membantu sektor yang terjejas akibat faktor cuaca dan musim tertentu termasuk fenomena El-Nino.
Menurut MG Perak, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) susulan isu kemerosotan pendapatan petani yang terjejas akibat fenomena berkenaan.
Beliau juga berkata penubuhan tabung itu dilihat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih menyeluruh kepada golongan yang terkesan dan tidak hanya tertumpu kepada satu sektor atau kawasan tertentu.
“Perkara itu sudah dua kali dibawa ke Mesyuarat Exco bagi membincangkan masalah kehilangan pendapatan petani di Perak Tengah dan kita sedang memperhalusinya.
“Kita tidak boleh mengambil tindakan berasaskan satu-satu kes sahaja kerana apabila kita mula membantu satu kumpulan, nanti akan datang laporan daripada Kerian dan kawasan lain. Itu baru satu sektor,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.








