KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Menurut Malaysia Kini, Abdul Azeez, 59, didakwa menyalahgunakan jawatannya sebagai pengerusi Tabung Haji pada 2014 untuk menerima suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana.
Jawatan berkenaan menawarkan ganjaran RM690,000 setahun, sebuah kereta BMW Siri 7 serta pemandu peribadi.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Baling membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Faham pertuduhan, pertuduhan itu tidak benar sama sekali, mohon dibicarakan,” katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji ketika itu, Ismee Ismail untuk melantik dirinya sebagai wakil dana tabung berkenaan dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Dalam pertuduhan sama, beliau turut didakwa mengarahkan Ismee memujuk anggota Lembaga Tabung Haji lain dalam satu mesyuarat supaya meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, sebuah syarikat yang beliau mempunyai kepentingan.








