CYBERJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak akan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang telah diluluskan kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Bernama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, setiap perbelanjaan kementerian dibuat berdasarkan jumlah yang dinyatakan dalam belanjawan atau peruntukan yang telah diluluskan kerajaan.
“Perkara yang dibelanjakan itu secara tidak langsung menjawab persoalan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican).
“Tiada sebuah kementerian belanja melebihi yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan atau yang telah diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, hari ini.








