KUALA LUMPUR: DAP mencadangkan supaya peruntukan pembangunan kawasan diberikan secara sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik yang mereka wakili.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, prinsip berkenaan bukan sahaja perlu dilaksanakan di peringkat Persekutuan, malah wajar diperluaskan kepada semua kerajaan negeri.
“Peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Loke, perkara itu antara ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung semalam.
Beliau berkata, CEC turut meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menggubal Enakmen Dana Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund).
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang menerima layanan yang adil dan sama rata tanpa mengambil kira parti politik yang diwakili.
“Ia bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tanpa mengira parti politik yang diwakili.
“Pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata dapat dijamin melalui perundangan,” katanya.








