BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP) bagi projek pembinaan krematorium Hindu moden di Bagan, di sini.
Menurut Berita Harian, Pengerusi LWHPP, RSN Rayer berkata, peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan bagi projek berkenaan meningkat kepada RM2.5 juta, berbanding RM1.5 juta yang diluluskan Anwar sebelum ini.
Beliau berkata peruntukan asal RM1.5 juta bagi pembinaan krematorium elektrik moden kedua di Pulau Pinang selepas kemudahan di Batu Lanchang didapati tidak mencukupi untuk melaksanakan projek berkenaan.
Katanya, kemudahan itu amat diperlukan masyarakat Hindu, khususnya di Seberang Perai.
“Kelulusan tambahan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri dalam memastikan keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama diberikan perhatian secara adil,” Beliau berkata demikian pada sidang media di tapak projek berkenaan di Jalan Siram, di sini, hari ini.








