MELAKA: Tongkat milik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dibida pada harga RM16,500 dalam Majlis Makan Malam Amal Pas Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini pada malam Ahad.
Menurut Sinar Harian, Tongkat diperbuat daripada kayu kemuning itu, yang tertera parap TGHH, pada awalnya dibuka dengan harga RM2,500 sebelum bidaan meningkat secara berperingkat sehingga mencecah RM16,500.
Lelongan berkenaan diadakan sebagai salah satu usaha mengumpul sumbangan untuk tabung parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Tongkat itu kemudiannya diserahkan sendiri Abdul Hadi kepada pembida, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Muhamad Muqharabbin merupakan bekas pendaki Gunung Everest termuda dari Asia Tenggara.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai dan Exco Pemuda UMNO Malaysia sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai sebelum menyertai Pas.








