KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menegaskan isu penyediaan tanah perkuburan Islam di Semenyih tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha memenuhi keperluan masyarakat.
Menurut Sinar Harian, Kuala Lumpur kini berdepan kekurangan kawasan perkuburan Islam yang kritikal bagi menampung keperluan pada masa depan.
Justeru, katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Kabinet telah merancang mendapatkan tanah tambahan di Semenyih bagi tujuan tersebut.
Hannah berkata, pembangunan kawasan perkuburan baharu itu turut melibatkan pembinaan sebuah jalan yang dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang serius di Semenyih.
“Selepas tapak perkuburan Islam itu siap sepenuhnya, ia akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk urusan pengendalian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, pada Rabu.
Mengulas dakwaan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Hannah menjelaskan keputusan berhubung penyediaan tanah itu dibuat di peringkat Kabinet.
Beliau turut mengingatkan bahawa menteri-menteri daripada UMNO juga merupakan anggota Kabinet, justeru sebarang persoalan berhubung perkara itu wajar dirujuk kepada mereka, dan bukannya dijadikan isu perkauman atau dikaitkan dengan DAP.
“Jangan mempolitikkan keperluan hidup dan mati rakyat tanpa mengira agama, lebih-lebih lagi ketika ini sedang musim Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.








