KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan dalam satu poster yang tular di media sosial, sambil mendakwa imej dan wajahnya telah digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Rosmah mendakwa poster berkenaan merupakan “pembohongan jelas” yang sengaja direka untuk mengelirukan pengundi.
Beliau turut mengecam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang didakwanya menyebarkan propaganda menggunakan imejnya bagi tujuan berkempen.
“Lebih memalukan, beliau ialah seorang Menteri Persekutuan. Sepatutnya seorang menteri menunjukkan contoh politik matang, bukan menyebarkan bahan fitnah dan manipulasi,”
“Saya menggesa Menteri Komunikasi mengambil tindakan terhadap Nga, kalau rakyat biasa boleh dikenakan tindakan kerana menyebarkan berita palsu,adakah menteri DAP kebal hanya kerana dia berada dalam kerajaan,” katanya.
“Saya tidak akan berdiam diri. Politik boleh berlawan. Tetapi jangan jadi pengecut sampai perlu guna gambar orang lain dan cipta fitnah murahan untuk menipu rakyat,” Tambahnya lagi.








