PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan ‘tauke judi’, sambil menegaskan tidak menyokong aktiviti perjudian.
Menurut Malaysia Gazette,Anwar berkata, jumlah cabutan judi yang sebelum ini sebanyak 22 kali setahun telah dikurangkan kepada lapan kali sejak beliau menerajui pentadbiran negara.
“Orang kata, oh, Anwar ini tauke judi. Saya tak sokong orang judi.
“Dulu judi, sebelum saya jadi Perdana Menteri, masa kerajaan dulu perintah, semua parti dululah. Berapa cabutan setahun? 22 kali.
“Masa saya perintah, saya turun daripada 22, jadi lapan kali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Skim Usahawan Bangkit (SUB) Madani di Yayasan Aman, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Jawatankuasa Task Force (Kluster Makanan), Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.







