KUALA LUMPUR: Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menggesa semua pihak supaya berpolitik dengan fakta dan bertanding dengan idea, sambil menegaskan bahawa pengundi Johor tidak mudah dipengaruhi propaganda atau sentimen ketakutan.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Beliau berkongsi laporan media yang menyimpulkan isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB mendominasi kempen Pakatan Harapan (PH).
“Setiap kali pilihan raya, skripnya tetap sama. Mainkan sentimen. Cipta kebimbangan. Alihkan perhatian daripada apa yang benar-benar rakyat mahu dengar,”
“Jangan hina kebijaksanaan pengundi dengan menganggap mereka hanya boleh dipengaruhi melalui propaganda dan momokan,”
“Berpolitiklah dengan fakta. Bertandinglah dengan idea. Menanglah dengan kepercayaan rakyat,” katanya.
Dalam hantaran sama, NurulHidayah menegaskan bahawa rakyat Johor mengundi kerana mahu pemimpin yang berani bekerja, memikul amanah dan berdepan realiti.
“Rakyat Johor bukan mudah dipermainkan. Mereka bukan mengundi kerana takut. Mereka mengundi kerana mahu pemimpin yang berani bekerja, berani memikul amanah dan berani berhadapan dengan realiti,”katanya.








