MUAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata DAP tidak pernah mempertikai hak orang Melayu, sekali gus menolak dakwaan bahawa parti itu bersifat perkauman.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, antara buktinya ialah DAP tidak pernah membantah hasrat beliau untuk mewartakan 20.23 hektar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu.
Menurut Anwar, sebagai pemimpin Kerajaan Perpaduan, beliau bertanggungjawab memastikan setiap kaum menerima layanan yang adil supaya kemakmuran negara dapat dikongsi bersama.
Beliau berkata, DAP juga tidak membantah pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu dan bumiputera, termasuk penambahan peruntukan kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Pada masa sama, katanya, bantuan kepada golongan miskin daripada kaum lain juga tidak boleh diabaikan.
“Kita buat program (untuk masyarakat) Melayu, bumiputera, tambah peruntukan untuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dia (DAP) tak ada masalah.
“Tapi saya kena (juga) jaga supaya program dengan orang Cina tidak dihalang. Orang Cina yang miskin patut dibantu, orang India yang miskin patut dibantu, majoriti Melayu miskin patut dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar di sebuah dewan restoran di Muar pada Ahad.-SINAR HARIAN







