DENGKIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya berkempen secara berhemah, menjaga akhlak dan mengelakkan sikap angkuh.
Menurut Berita Harian, Anwar berkata pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam pilihan raya merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi.
Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu memastikan kempen berlangsung secara sopan dan menghormati masyarakat.
“Tiga ke enam penjuru ini lumrah dalam amalan demokrasi, cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak dan jangan lupa daratan.
“Bagi kita, kita dalam Pakatan Harapan (PH) cuba dekatkan dengan rakyat kerana prestasi ditunjukkan. Jangan tunjuk sombong, jangan kata ‘tolak orang itu, tolak’… tidak, kerjasamalah sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa persaingan politik perlu dilakukan secara matang, dengan memberi tumpuan kepada khidmat dan prestasi kepada rakyat.







