BUKIT MERTAJAM – Pembabitan dalam politik wajar berteraskan khidmat bakti kepada rakyat dan bukan dijadikan ruang untuk mencari peluang mengejar kekayaan atau memenuhi kepentingan peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, individu yang mahu menceburi bidang politik perlu memiliki ilmu, keberanian, integriti serta keikhlasan dalam usaha membela nasib rakyat.
Menurut beliau, seseorang perlu memahami tujuan sebenar menyertai politik dan menjadikannya sebagai medan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Kenapa kamu mahu masuk politik? Kamu perlu berkhidmat kepada rakyat. Kamu berkhidmat kepada rakyat dengan kecerdikan, ilmu dan membaca keadaan negara termasuk menentang rasuah serta salah guna kuasa.
“Politik adalah satu profesion yang mulia jika kamu menjadikannya mulia. Ia menjadi kotor dan korup jika kamu dipengaruhi mereka yang terang-terangan melakukan rasuah,” katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru Kampus Tunku Bainun, Bukit Mertajam.-Suara Keadilan








