theme-sticky-logo-alt
June 25, 2026
46 Views

“UMNO Bukan Parti Warisan Anak Beranak,”- Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa dukacita susulan pengumuman Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini. Asyraf berkata keputusan itu merupakan hak demokrasi Puad yang dijamin Perlembagaan, selain mendoakan segala kebaikan atas jasa yang pernah disumbangkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO... Read More

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa dukacita susulan pengumuman Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Asyraf berkata keputusan itu merupakan hak demokrasi Puad yang dijamin Perlembagaan, selain mendoakan segala kebaikan atas jasa yang pernah disumbangkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu kepada parti.

“Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan segala kebaikan dilimpahkan atas jasa yang disumbangkan kepada parti selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Asyraf berkata beliau amat kesal dengan kenyataan Puad yang disifatkannya berbaur fitnah apabila mengaitkan alasan keluar parti dengan dakwaan kononnya Istana mengawal UMNO Johor sehingga menitahkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.

Menurut Asyraf, Puad sebelum ini pernah menulis kepadanya secara panjang lebar dan didakwa mengugut untuk keluar parti serta “menghentam” UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi parti tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit.

Asyraf berkata anak Puad masih muda dan mempunyai potensi besar untuk dilatih serta diangkat sebagai pemimpin, namun pemilihan calon dalam pilihan raya perlu mengambil kira pelbagai faktor.

“Namun, tentulah parti mengambil kira banyak faktor dalam pemilihan seseorang calon dalam satu-satu pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin lama dan berpengalaman seperti Puad untuk didakwa mengugut parti dengan mensyaratkan anaknya mesti dicalonkan menggantikan tempat beliau di DUN Rengit.

Katanya, tindakan mengugut mahu keluar parti dan menghentam UMNO hanya kerana kehendak tersebut tidak dipenuhi tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi terhadap parti yang menurutnya banyak berjasa kepada Puad.

Asyraf turut mendakwa perkara itu bukan kali pertama berlaku.

Menurutnya, ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO, Puad juga pernah mengugut untuk keluar parti sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.

“Cukup-cukuplah UMNO ini diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga dan suku-sakat untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Asyraf menegaskan perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau rasa kecewa individu.

Katanya, UMNO telah banyak berjasa, mengangkat dan memberi ruang kepada ramai pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama.

“Maka amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi.

“Bak kata pepatah Melayu, air susu dibalas air tuba, jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan,” katanya.

Asyraf berkata UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air, serta tidak tunduk kepada tekanan mana-mana individu.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1

Discover more from New Malaysian Post

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading