KUALA LUMPUR: Seramai 4,008 pelarian Rohingya direkodkan berada di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan data program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula pada 1 Januari menerusi pelaksanaan Fasa 1.
Menurut Berita Harian, data berkenaan turut merangkumi masing-masing seorang warga Sudan dan Syria.
“Keseluruhannya adalah seramai 4,010 orang, merangkumi seramai 2,746 tahanan lelaki dewasa, 632 tahanan perempuan dewasa, 392 kanak-kanak lelaki dan 240 kanak-kanak perempuan,” katanya.
Saifuddin berkata, tahanan dewasa akan dipindahkan secara berfasa ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak.
Katanya, pusat itu mempunyai kapasiti operasi seramai 400 tahanan pada satu-satu masa bagi membolehkan proses Penentuan Status Pelarian (PSP) dijalankan.
“Sehingga 31 Mei lalu, jumlah tahanan yang sudah dipindahkan ke PPKPPS Bidor ialah 101 orang.
“Daripada jumlah ini, seramai 78 individu diperakukan sebagai pelarian Program DPP,” katanya ketika menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PN-Selayang) yang disiarkan di laman web Parlimen.
Menurut Saifuddin, proses pembebasan mereka akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen mengikut proses perundangan yang sedang berkuat kuasa.








