ALOR GAJAH: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Presiden Amanah Mohamad Sabu tidak menyindir mana-mana pihak ketika berucap pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) di Tangkak, malam kelmarin.
Sebaliknya, Anwar yang juga pengerusi PH berkata Mohamad hanya memberi pandangan supaya pihak ketiga tidak diheret dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, semua pihak tidak seharusnya memanaskan keadaan atau mengaitkan institusi diraja dalam persaingan politik yang sedang berlangsung.
“Kita usah panaskan suasana. Dia (Mohamad) beri pandangan mengenai campur tangan pihak ketiga dalam pilihan raya.
“Saya mempunyai perbincangan yang sangat baik dengan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan persefahaman kami juga sangat baik.
“Jadi, kita jalankan pilihan raya ini antara parti-parti yang bertanding, jangan kaitkan institusi Raja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREATE), Alor Gajah, hari ini.







