JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, walau apapun jalan yang bakal dirempuh, pendirian tersebut akan kekal dan tidak berganjak.
“Sekiranya diizinkan Allah rakyat terus memberikan kepercayaan penuh kepada BN Johor untuk terus menerajui negeri kita, BN Johor tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik yang lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon BN Sempena Pilihan PRN Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor semalam.
Menteri Besar Johor itu berkata, BN akan terus berkerja bagi menjayakan agenda Maju Johor 2030 sehingga ke garisan penamatnya’.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak diumumkan BN bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 Mei lalu disusuli pembubaran DUN pada 1 Jun lalu, BN berdepan pelbagai serangan dan tekanan.
Katanya, pelbagai fitnah serta tuduhan dilemparkan terhadap BN Johor yang menyatakan pendirian tersebut dan mahu memperbaharui mandat Johor.
“Keengganan untuk kita bekerjasama dengan mana-mana parti seperti DAP, kita dituduh sombong, angkuh, malah rasis, hanya kerana pendirian politik kita berbeza.
“Politik dimonisasi ataupun demonisation, mula memasuki negeri ini. BN terus diburuk-burukkan dan digambarkan seolah-olah menjadi musuh atau punca segala masalah,” katanya.








