KANSAS CITY: Juara bertahan, Argentina, memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan J di Stadium Kansas City, sebentar tadi.
Kapten pasukan, Lionel Messi, muncul wira Argentina apabila meledak hatrik pertama beliau dalam saingan Piala Dunia sejak membuat penampilan sulung pada edisi 2006.
Jaringan pembukaan hadir pada minit ke-17 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal dihalang penjaga gol Algeria, Luca Zidane.
Algeria sebenarnya hampir mengejutkan juara dunia itu selepas berjaya membolosi gawang yang dikawal Emiliano Martinez, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or itu terus mempamerkan ketajamannya pada separuh masa kedua dengan menambah dua lagi gol untuk melengkapkan hatrik, sekali gus memastikan tiga mata penuh menjadi milik skuad kendalian Lionel Scaloni.
Messi kemudian dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Pencapaian itu turut menyaksikan legenda Argentina tersebut menyamai rekod bekas penyerang Jerman, Miroslav Klose, dengan 16 gol sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia.- Stadium Astro








