KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi berpendirian bahawa Datuk Seri Najib Razak menyedari penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana beliau bukan seorang yang mudah dikelirukan oleh pengurusan syarikat pelaburan strategik negara itu.
Menurut Malaysia Gazette, alasan penghakiman penuh setebal 809 muka surat bertarikh semalam yang diperoleh media melalui laman sesawang kehakiman, Hakim Datuk Collin Sequerah berkata bekas perdana menteri itu sendiri mengarahkan supaya pengeluaran jaminan kerajaan bagi 1MDB pada 2013 dipercepatkan.
Beliau berkata Najib bukan “orang kampung” sebaliknya mempunyai kecerdasan tinggi serta berasal daripada latar belakang keluarga yang cemerlang dalam politik.
Semasa perbicaraan, pembelaan Najib kekal dengan pendirian bahawa beliau telah dikelirukan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pengurusan tertinggi 1MDB.
Bagaimanapun, mahkamah berpendapat adalah mustahil bagi Najib tidak mengetahui apa yang berlaku dalam 1MDB kerana keterangan menunjukkan beliau sendiri mengarahkan Jho Low menemani pegawai khasnya dalam urusan ke luar negara, sekali gus membuktikan penglibatannya secara sedar dalam operasi syarikat berkenaan.
“Najib bukan ‘orang kampung’ (bumpkin), hakikatnya semasa kejadian beliau merupakan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB,” kata Collin, yang kini merupakan hakim Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata fakta yang kukuh menunjukkan kehadiran Jho Low ketika fasa kritikal urus niaga 1MDB dan hubungan rapatnya dengan Najib, selain ketiadaan tindakan terhadap ahli perniagaan itu, membuktikan bahawa Jho Low bertindak sebagai proksi serta perantara kepada tertuduh dalam syarikat berkenaan.
Collin menyatakan demikian ketika mensabitkan Najib atas kesemua 21 pertuduhan salah guna kedudukan dan empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.








