theme-sticky-logo-alt
June 17, 2026
88 Views

“Jika Semalam DAP Jadi Ancaman, Mengapa Hari Ini Jadi Rakan Pembangunan,”- Mahfuz Omar

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mempersoalkan percanggahan naratif politik susulan pertemuan dan program bersama antara Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Mahfuz berkata, tiada pihak mempertikaikan keperluan pemimpin kerajaan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri. Menurutnya, kerjasama antara kerajaan Johor dengan kerajaan Persekutuan sememangnya wajar dan perlu disokong.... Read More

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mempersoalkan percanggahan naratif politik susulan pertemuan dan program bersama antara Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Mahfuz berkata, tiada pihak mempertikaikan keperluan pemimpin kerajaan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

Menurutnya, kerjasama antara kerajaan Johor dengan kerajaan Persekutuan sememangnya wajar dan perlu disokong.

Bagaimanapun, beliau berkata persoalan timbul apabila DAP dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini sering dijadikan sasaran politik kini boleh berkongsi pentas, menghadiri program serta melaksanakan projek bersama.

“Adakah naratif yang dimainkan sebelum ini sekadar retorik politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu?

“Atau adakah pendirian yang dipegang selama ini sebenarnya tidak konsisten?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, DAP tidak sepatutnya digambarkan sebagai musuh atau ancaman ketika musim pilihan raya, tetapi diterima sebagai rakan apabila melibatkan pembangunan negeri, pelaburan, infrastruktur dan projek kerajaan.

Menurutnya, pendekatan sedemikian hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan pemimpin.

Beliau berkata, rakyat semakin matang dalam menilai politik dan tidak memerlukan pendekatan politik yang bermuka-muka.

Mahfuz turut menegaskan bahawa kerajaan perpaduan memerlukan kejujuran dan bukannya “sandiwara politik”.

Katanya, Johor turut menikmati manfaat daripada kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, termasuk menerusi pelbagai projek strategik yang melibatkan kementerian diterajui pemimpin PH.

“Justeru, adalah tidak adil apabila kejayaan mahu dikongsi, tetapi pada masa yang sama sentimen kebencian terhadap rakan dalam kerajaan perpaduan terus dimainkan demi kepentingan politik sempit,” katanya.

Mahfuz berkata, politik matang menuntut seseorang pemimpin supaya konsisten dengan pendiriannya.

Menurutnya, sekiranya kerjasama dengan DAP dan PH dianggap baik untuk rakyat, pemimpin perlu berani mengakui hakikat berkenaan.

Namun, katanya, sekiranya rakyat sebelum ini ditakut-takutkan dengan pelbagai persepsi negatif terhadap DAP, mereka berhak mengetahui pihak yang sebenarnya mengelirukan rakyat.

“Rakyat Johor tidak memerlukan politik bermuka-muka.

“Rakyat mahukan pemimpin yang bercakap benar, konsisten dengan pendirian dan jujur dalam berpolitik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya sentimen kebencian tidak dijadikan modal politik ketika pilihan raya, sebelum pemimpin bergantung kepada pihak sama selepas berada dalam kerajaan.

“Jika semalam DAP dijadikan ancaman, mengapa hari ini boleh menjadi rakan pembangunan? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur,” katanya.

15 49.0138 8.38624 both 1 bullet 1 4000 1 0 horizontal https://newmalaysianpost.com.my 50 0 1

Discover more from New Malaysian Post

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading