PUTRAJAYA – Sebanyak enam buah Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak setakat 28 Februari 2026.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, daripada jumlah itu, tujuh merupakan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai tanpa penjaga atau terpisah daripada penjaga mereka.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan Baitul Mahabbah merupakan langkah interim kerajaan bagi menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan ruang riadah yang bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan menolak dakwaan yang mengaitkan Malaysia dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk daripada komuniti Rohingya.
KDN berkata, dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar kerajaan dalam menguruskan isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
Sehubungan itu, kerajaan menyeru semua pihak termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan memainkan peranan lebih tegas serta bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian mampan.
“Tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada kritikan terhadap negara penerima, tetapi juga kepada usaha menangani punca sebenar migrasi paksa, membanteras sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga serta mewujudkan keadaan yang membolehkan kepulangan secara selamat, sukarela dan bermaruah apabila keadaan mengizinkan,” katanya.








