Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah, memohon maaf kepada Institusi Undang Yang Empat susulan tindakannya bergurau dengan menyebut nama Anthony Loke sebagai “Tok Undang” pada satu majlis baru-baru ini.
Menurut Sinar Harian, Ahmad Shahir sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang yang menjadi teras identiti negeri itu, beliau memandang serius penggunaan gelaran berkenaan.
Katanya, perkara itu melibatkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
“Bagi memahamkan semua pihak berkenaan situasi semasa Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, saya mulakan dengan permohonan maaf kepada Datuk Undang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan YB Anthony Loke dengan memetik gelaran yang diberikan dalam media sosial kepada beliau ‘Tok Undang’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Shahir berkata beliau menginsafi kekhilafan tersebut dan tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) sentiasa menghormati dan mempertahankan kemuliaan institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti serta kebanggaan Negeri Sembilan.








