KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelarian Rohingya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negara ini serta tidak membuat keputusan sesuka hati.
Menurut Malaysia Gazette, Beliau berkata, sebarang pelanggaran undang-undang boleh menyebabkan masyarakat etnik Myanmar itu berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Pada yang masa sama, Anwar turut menasihati rakyat tempatan yang berdepan pelbagai isu melibatkan pelarian Rohingya supaya mengambil kira nilai-nilai kemanusiaan dalam menangani perkara tersebut.
“Tetapi nasihat kepada rakyat Myanmar khusus Rohingya, dia juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita.
“Bangunannya, perniagaannya mesti mengikut peraturan dan kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan.
“Tapi saya harap dalam semangat itu semua, sementara undang-undang dihormati, kita akan tegas hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Hidayah Sentul, di sini, hari ini.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan undang-undang dihormati dan dikuatkuasakan, termasuk dalam isu yang melibatkan komuniti pelarian di negara ini.








