Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan usaha memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda reformasi institusi negara akan terus menjadi teras kepada pembinaan Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Menurut beliau, penegasan itu dibuat ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman.
Anwar berkata, integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, sebaliknya merupakan asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
Katanya, integriti juga memainkan peranan besar dalam menarik pelaburan berkualiti serta menentukan hala tuju masa depan negara yang lebih mampan.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah tanpa kompromi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Anwar turut menekankan bahawa pengukuhan tatakelola dan integriti merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang sedang dilaksanakan kerajaan.








