Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggotanya yang dikesan atau terbukti menerima suapan.
Menurut Buletin TV3, Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai bukti berkaitan salah laku berkenaan disaran membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan tindakan diambil.
“Kalau ada, buat laporan kepada SPRM. Kita tidak berkompromi dalam perkara ini kerana sememangnya menjadi matlamat JPJ untuk mengamalkan toleransi sifar terhadap isu rasuah.
“Kalau ada sesiapa yang terlibat dan terdapat bukti mengambil suapan, kita alu-alukan tindakan daripada pihak SPRM,” katanya.
Menurut Loke, JPJ juga sentiasa bekerjasama dengan SPRM dalam usaha mencegah rasuah dalam kalangan pegawai dan anggotanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat JPJ Cawangan Nilai di Nilai hari ini.







