KUALA PILAH – Putera kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir iaitu Tunku Zain Al-’Abidin, dimasyhurkan sebagai penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Awani,Pemasyhuran tersebut disempurnakan sendiri oleh Tuanku Muhriz dalam Istiadat Pengurniaan dan Perisytiharan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada Khamis.
Istiadat berkenaan berlangsung mengikut adat istiadat Diraja Negeri Sembilan, dengan keberangkatan masuk Tuanku Muhriz bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud ke Balairong Seri, diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, sebelum Lagu Kebesaran Negeri Sembilan dimainkan.
Orang Empat Istana kemudiannya memohon perkenan untuk memulakan istiadat sebelum Tunku Zain dipersilakan menghadap bagi menerima watikah pelantikan sebagai Tunku Panglima Besar.
Turut hadir pada istiadat berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama isteri serta pemimpin adat dan masyarakat negeri.








