KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan isu pelarian Rohingya di negara ini tidak boleh ditangani melalui penguatkuasaan polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai agensi serta negara yang berkaitan.
Menurut Berita Harian,Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga April 2026 menunjukkan terdapat 219,472 pemegang kad UNHCR di Malaysia.
Menurut beliau, daripada jumlah itu seramai 197,591 adalah warga Myanmar, manakala 128,200 terdiri daripada komuniti Rohingya.
“Daripada statistik ini, kita dapat lihat majoriti pemegang kad UNHCR di Malaysia adalah dari Myanmar dan sebahagian besarnya Rohingya.
“Kalau hendak menangani isu ini, ia mesti membabitkan semua pihak. Macam dalam polis, kita adalah penerima yang terakhir dalam rantaian ini. Isu ini mempunyai banyak lapisan penguatkuasaan bermula di perairan sehingga mereka mendarat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, apabila golongan terbabit ditangkap dan dihukum, timbul persoalan mengenai destinasi penghantaran mereka semula.
“Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan,” katanya lagi.
Ayob berkata demikian pada sidang media sempena Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tuanku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (Hospital TABTAR), di Kuala Lumpur hari ini.







