KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar menyifatkan keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu tetapi masih kekal menerajui Perikatan Nasional (PN) sebagai satu keadaan yang janggal dan mengelirukan rakyat.
Dalam kenyataan media hari ini, Mahfuz berkata situasi tersebut diibaratkan seperti pasangan suami isteri yang telah melafazkan perceraian tetapi masih tinggal serumah dan berebut “kain selimut” kerana kepentingan kuasa serta jawatan.
Menurut beliau, rakyat ketika ini lebih memikirkan soal masa depan negara, sedangkan pemimpin politik masih terlibat dalam persaingan dan percaturan kuasa.
Mahfuz mendakwa tindakan PAS yang tidak meninggalkan PN walaupun menghentikan kerjasama dengan Bersatu menunjukkan kepentingan politik mengatasi prinsip perjuangan.
“Kalau benar ada prinsip, keluar terus dari PN. Jangan jadi parti yang mahu makan di dua meja dalam satu masa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua parti politik menghentikan apa yang disifatkannya sebagai “perkahwinan plastik” dan mengambil keputusan secara jelas sekiranya tidak lagi mempunyai haluan yang sama.
“Sekiranya sudah tidak sehaluan, berpisahlah sebagai jantan dan bermaruah. Jangan heret masa depan negara dan rakyat ke dalam bilik tidur politik yang penuh dengan kepura-puraan,” katanya.






