PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan kemelut yang melanda Negeri Sembilan ketika ini wajar diselesaikan menerusi meja rundingan dan semangat permuafakatan, bukannya melalui pertikaian berpanjangan di mahkamah.
Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati institusi serta mekanisme adat yang menjadi sebahagian daripada sistem pemerintahan Negeri Sembilan, termasuk peranan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Menurut Malaysia Gazette,pendekatan rundingan adalah kaedah yang lebih sesuai bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima semua pihak tanpa menjejaskan kestabilan negeri.
“Saya berpendapat perkara ini elok diselesaikan melalui perbincangan dan musyawarah kerana ia melibatkan institusi yang perlu dihormati.
“Pada masa yang sama, kita mesti menghormati peranan dan kedudukan DKU dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Zahid berkata, penyelesaian secara rundingan dan permuafakatan adalah pendekatan terbaik bagi memastikan kemelut yang berlaku dapat ditangani secara harmoni serta tidak menjejaskan kestabilan negeri.








