KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Syed Danial Syed Ahmad bagi menyerahkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berhubung cadangan penggubalan dua akta baharu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Ibrahim yang mewakili Penyelaras Sekretariat Rakyat Bertindak (DESAK) mengadakan pertemuan tersebut di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada jam 10 pagi, hari ini.
Beliau berkata, kunjungan itu bertujuan menyerahkan warkah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung cadangan penubuhan Akta Kedaulatan Raja dan Akta Kesetiaan Negara.
Menurutnya, cadangan tersebut dizahirkan menerusi Perisytiharan Himpunan Daulat Tuanku yang diadakan pada 16 Mei lalu di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.
Dalam pertemuan itu, Ibrahim turut menjelaskan rasional dan kepentingan kedua-dua cadangan akta berkenaan yang menurutnya bertujuan memperkukuh kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, memelihara keharmonian negara serta memastikan kedudukan Raja-Raja Melayu dan Islam terus dihormati serta dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.








