KUALA LUMPUR — Pindaan Perlembagaan Persekutuan disaran dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan Rukun Negara, termasuk dengan menjadikannya sebagai mukadimah serta menggubal undang-undang bertulis bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip berkenaan.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, langkah tersebut penting bagi menyediakan asas kuasa perundangan yang jelas kepada Rukun Negara.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan mematuhi prinsip Rukun Negara.
Haniff berkata, pada masa ini titah Yang di-Pertuan Agong masih bersifat nasihat dan teguran berikutan ketiadaan peruntukan undang-undang khusus yang membolehkan tindakan diambil terhadap pelanggaran prinsip tersebut.
“Saya menyarankan mana-mana kerajaan sedia ada atau yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-16 supaya melaksanakan pindaan sewajarnya terhadap Perlembagaan Persekutuan, dengan memasukkan kelima-lima prinsip Rukun Negara sebagai mukadimah.
“Ini perlu diikuti dengan penggubalan undang-undang bertulis khusus bagi menjadikan sebarang pelanggaran atau kemungkiran terhadap prinsip berkenaan sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman setimpal,” katanya kepada Astro AWANI.








