KUALA LUMPUR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya diberi kepercayaan oleh PKR.
Menurut Berita Harian, Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan, keputusan mengenai pemilihan calon bagi PRU16 terletak sepenuhnya di tangan parti.
“Saya bersedia untuk bertanding di mana-mana pun, jika diberi peluang dan keputusan ini terpulang kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Korban Perdana Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pandan di sini hari ini.
Zafrul mengulas kemungkinan beliau bakal bertanding di Parlimen Pandan susulan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan jawatan selepas keluar daripada PKR pada 17 Mei lalu.
Sebelum ini, Rafizi bersama bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada PKR dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang ditubuhkan pada 2016.
Dalam perkembangan sama, Zafrul turut disebut-sebut sebagai calon yang berpotensi mempertahankan kerusi Pandan berdasarkan gerak kerja aktif beliau di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.







