KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua mempersoalkan tindakan polis yang merekodkan keterangan daripada 95 saksi berhubung siasatan terhadap hantaran Facebook miliknya berkaitan isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyindir jumlah saksi yang dipanggil dengan mempersoalkan sama ada kesemua individu berkenaan benar-benar “menyaksikan” hantaran tersebut.
“95 saksi!!! Mereka semua menyaksikan hantaran Facebook saya???”
Tony turut menyentuh mengenai tindakan polis mendapatkan pandangan pakar akademik dalam siasatan berkenaan.
“Dan mereka juga sedang mendapatkan ‘keterangan pakar’ untuk input akademik!”
Dalam nada sinis, beliau turut berharap supaya tiada “kangkungs” terlibat dalam proses mendapatkan pandangan pakar itu.
Hantaran tersebut dipercayai merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar yang memaklumkan polis menerima 120 laporan polis di seluruh negara berhubung kes itu, manakala 95 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Menurut Kumar, polis juga akan merakam keterangan seorang pakar akademik perlembagaan pada 3 Jun ini sebelum kertas siasatan dilengkapkan.








