KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat merekodkan lebih 5,000 keahlian baharu antara April hingga Mei tahun ini walaupun tanpa penganjuran program berskala besar atau kempen promosi khusus.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, pertambahan itu menunjukkan parti berkenaan masih menerima sokongan rakyat dan kekal sebagai tunjang utama dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut Malaysia Gazette, PKR yang kini mempunyai lebih sejuta ahli di seluruh negara menyaksikan peningkatan keanggotaan berlaku secara organik.
“Dari April hingga Mei sahaja, tanpa program besar dan tanpa promosi, jumlah keanggotaan baharu PKR melebihi 5,000 orang.
“Pada pandangan kami, PKR akan terus menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan dan parti yang bukan sahaja menghidupkan obor reformasi, tetapi memastikan harapan rakyat dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai 2026 di Kuala Lumpur hari ini.








