Bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew merancang untuk melancarkan baju edisi terhad yang memaparkan ilustrasi Rukun Negara.
Menurut Malaysia Kini, Liu berkongsi sekeping gambar reka bentuk baju berwarna putih itu yang digayakan oleh tiga model terdiri daripada individu berbangsa Melayu, Cina dan India.
Baju berkenaan memaparkan ilustrasi yang menggambarkan lima prinsip Rukun Negara.
Menurut Liu, hak cipta bagi rekaan baju tersebut adalah terpelihara di bawah namanya.
“Istimewa T-shirt Rukun Negara Versi 2 edisi terhad. Menarik! Hak cipta @RonnieLiu terpelihara,” katanya menerusi hantaran itu sambil menyertakan tanda pagar #RukunNegara.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek itu turut meminta pandangan orang ramai dan pengikut media sosialnya mengenai tokoh atau pempengaruh yang sesuai untuk merasmikan pelancaran baju berkenaan.








