SHAH ALAM — Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengadakan sesi meja bulat melibatkan pengurusan kuil, pertubuhan agama serta pemimpin masyarakat sebelum memuktamadkan sebarang garis panduan berkaitan rumah ibadat bukan Islam.
Menurut Malaysia Gazette, Presidennya, N. Sivakumar berkata, pendekatan dialog terbuka dan inklusif penting bagi memastikan semua pihak mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan serta kebimbangan masing-masing.
Beliau berkata, isu membabitkan rumah ibadat dan sensitiviti agama perlu ditangani secara berhemah dan berhati-hati dengan mengutamakan semangat persefahaman dalam masyarakat majmuk.
“Pandangan dan pengalaman pihak pengurusan kuil amat penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, praktikal serta menghormati realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Dalam isu seperti ini, pendekatan terbaik adalah melalui dialog terbuka, persefahaman dan penglibatan semua pihak berkepentingan agar tiada pihak berasa terpinggir atau tidak didengari,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.








