KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) mengakui pergolakan dalaman yang melanda Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) ketika ini membuka ruang untuk gabungan itu memperkukuh kembali kedudukannya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Sinar Harian, Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir menegaskan BN tidak boleh bergantung kepada kelemahan pihak lawan semata-mata untuk meraih semula sokongan rakyat.
“BN tidak boleh bergantung semata-mata kepada kelemahan pihak lain untuk kembali mendapat sokongan rakyat. Politik yang matang bukan dibina atas kegagalan lawan tetapi atas kemampuan menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat,”
“Dalam mana-mana sistem demokrasi, apabila rakyat melihat berlakunya konflik dalaman, perebutan kuasa dan ketidakstabilan dalam sesebuah gabungan politik, mereka akan mula mencari alternatif yang lebih stabil, berpengalaman dan mempunyai hala tuju jelas.
“Dalam konteks itu, BN perlu memanfaatkan ruang tersebut dengan memperkukuhkan organisasi parti, memperkemas agenda rakyat dan membina semula keyakinan masyarakat,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.
Zambry berkata, rakyat kini semakin matang dan mahukan kestabilan politik serta penyelesaian terhadap isu ekonomi dan kos sara hidup.
Menurutnya, fokus BN ketika ini adalah membina semula keyakinan rakyat melalui agenda yang praktikal dan realistik, termasuk aspek pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan serta jaminan masa depan generasi muda.







