Arsenal akhirnya menamatkan penantian 22 tahun untuk kembali menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2025/2026.
Menurut Awani,Kejayaan itu disahkan selepas keputusan seri 1-1 antara Manchester City dan AFC Bournemouth pada Selasa, sekali gus memastikan Arsenal kekal di puncak liga dengan kelebihan empat mata berbaki satu perlawanan.
Skuad bimbingan Mikel Arteta itu bakal menjadikan aksi terakhir menentang Crystal Palace sebagai pentas simbolik pertabalan juara.
Sebelum itu, Arsenal menghidupkan peluang kejuaraan menerusi kemenangan 1-0 ke atas Burnley, sekali gus memaksa City meraih kemenangan untuk membawa perebutan gelaran ke perlawanan terakhir.
Bagaimanapun, skuad kendalian Pep Guardiola gagal memenuhi misi itu selepas sekadar seri dengan Bournemouth.
Arsenal sebelum ini sering dilabel sebagai pasukan yang gagal menamatkan saingan di kedudukan teratas selepas muncul naib juara dalam tiga musim berturut-turut.
Namun musim ini menyaksikan mereka akhirnya menoktahkan kemarau kejuaraan liga sejak musim 2003/2004 pada era Arsène Wenger, apabila pasukan itu menamatkan musim tanpa kalah.
Ia juga menjadi gelaran liga ke-14 Arsenal, meletakkan mereka antara kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England di belakang Manchester United dan Liverpool yang masing-masing memiliki 20 kejuaraan.
Kejayaan itu turut menghadiahkan trofi utama pertama Arsenal sejak menjuarai Piala FA pada 2020, musim pertama Arteta mengendalikan kelab tersebut.








