Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memaklumkan siasatan berhubung aduan tular mengenai penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak telah selesai dijalankan.
Menurut Malaysia Gazette, kad dalam Bahasa Mandarin disediakan bagi membantu untuk membantu komunikasi pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi.
Katanya, selain Bahasa Mandarin, Klinik Kesihatan Setapak turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa lain sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian.
“Siastan mendapati insiden berlaku pada 18 Mei 2026 melibatkan seorang pesakit denggi kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.
“Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan.
“Walau bagaimanapun, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan telah diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan berkata langkah penambahbaikan segera telah diambil bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian.
Pada masa sama, katanya, Bahasa Melayu akan terus dikekalkan sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku.








