Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, mempersoalkan sama ada pengundi akan memperoleh manfaat dengan menyokong Parti Bersama Malaysia (Bersama), wadah politik baharu yang diterajui Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Malaysia Kini, kedua-dua bekas pemimpin kanan PKR itu dilihat berani mengambil langkah “kamikaze” menerusi percaturan politik terbaharu mereka.
Bagaimanapun, beliau berpendapat kemunculan Bersama lebih memberi kesan kepada PH berbanding PN kerana parti itu menyasarkan kelompok pengundi yang sama, khususnya di kawasan campuran kaum, lokaliti bandar dan wilayah pantai barat.
“Bagi PN, cabarannya terletak pada pertembungan idea dan polisi untuk menarik sokongan anak muda serta pengundi atas pagar.
“Namun kredibiliti ‘raja formula’ sedikit menjejaskan reputasi Rafizi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata kemunculan Bersama dijangka memeriahkan lagi ruang demokrasi negara, terutama melalui kritikan dasar, pembongkaran isu dan kelemahan kerajaan serta serangan terhadap elit penguasa.
Namun, katanya, persoalan utama ialah kedudukan parti itu selepas pilihan raya dan pihak yang akan menjadi rakan gabungan mereka.
“Walaupun masih terlalu awal, tetapi inilah antara pertimbangan utama pengundi menjelang PRU ke-16 nanti.
“Adakah berbaloi untuk memberi satu undi kepada parti baru itu?” katanya.








