Azalina Othman Said berpandangan mana-mana wakil rakyat termasuk ahli parlimen perlu mengambil kira kepentingan pengundi sebelum membuat keputusan mengosongkan kerusi yang disandang selagi belum tamat penggal.
Menurut Awani,Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata wakil rakyat yang masih memegang jawatan sewajarnya menamatkan tanggungjawab kepada rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan lima tahun sebelum menyertai parti lain atau bertanding semula.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa hari ini.
“Saya tak boleh respons kerana itu hak demokrasi masing-masing, tetapi kasihan kepada rakyat dan pengundi di Pandan sebab pada pandangan saya mereka mengharapkan wakil rakyat itu ada.
“Sekurang-kurangnya rakyat boleh mengetuk pintu wakil rakyat jika ada masalah atau memerlukan bantuan, tetapi mungkin beliau ada sebab-sebab tertentu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono 2026 oleh Asian International Arbitration Centre di Kuala Lumpur, hari ini.








