Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pempengaruh Papagomo membayar ganti rugi keseluruhan RM280,000 kepada Lim Guan Eng dan anaknya selepas didapati memfitnah mereka menerusi hantaran di Facebook enam tahun lalu.
Menurut Malaysia Gazette, Hakim Roslan Mat Noor memerintahkan Papagomo (defendan) membayar RM200,000 kepada Guan Eng dan RM80,000 kepada anak bekas menteri kewangan itu, Clint Lim Way Chau.
Mahkamah turut mengarahkan defendan membayar kos RM30,000 kepada Guan Eng serta RM10,000 kepada Clint.
Guan Eng dan anaknya diwakili peguam K. Simon Murali manakala Papagomo diwakili Logen Iskander Abdullah.
Kenyataan fitnah itu berkaitan dakwaan penahanan Clint di Singapura kerana membawa wang tunai RM2 juta tanpa membuat pengisytiharan.
Dalam samannya, Guan Eng mendakwa defendan yang menggunakan nama “Papa Azri” telah memuat naik hantaran mendakwa beliau pergi ke Singapura pada 29 Februari 2020 selepas mengetahui anaknya ditahan di Lapangan Terbang Changi atas dakwaan membawa wang tunai RM2 juta tanpa pengisytiharan.
Hantaran itu dibuat susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada Mac 2020 yang kemudian menarik balik laporan terbabit serta membuat permohonan maaf.








