PUTRAJAYA — Jabatan Pendaftaran Negara memberi jaminan bahawa proses penukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu yang akan dilaksanakan mulai Jun ini tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat.
Dalam satu kenyataan media, JPN berkata proses peralihan itu tidak akan mengganggu penebusan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menurut jabatan itu, senarai nama penerima bantuan sedia ada dalam sistem juga akan kekal dan tidak tercicir sepanjang proses pertukaran berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab kebimbangan segelintir pihak mengenai kemungkinan berlaku gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu bulan depan.
JPN berkata pihaknya telah menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data kekal lancar dan utuh.
“Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan akan diterima kepada penerima yang layak,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPN lagi, ciri keselamatan baharu pada MyKad Struktur Baharu akan memperkukuh proses pengesahan identiti penerima selain terus menyokong ekosistem sedia ada yang digunakan untuk tujuan penyaluran subsidi dan bantuan.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa fokus utama mereka adalah meningkatkan keselamatan identiti rakyat tanpa menyukarkan penerima bantuan kerajaan, khususnya golongan rentan.
JPN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan akan dihentikan jika kad pengenalan tidak ditukar segera.








