PUTRAJAYA — Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini bagi memberi keterangan tambahan secara sukarela berhubung siasatan pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings Inc.
Menurut Sinar Harian,bekas menteri ekonomi itu berkata, kehadirannya merupakan hari kelima siasatan berkaitan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor tersebut.
Beliau turut menyerahkan dokumen tambahan setebal 28 muka surat yang mengandungi laporan media, kenyataan rasmi serta rekod berkaitan perbincangan dan pengumuman dasar kerjasama berkenaan.
“Pihak peguam saya menghantar surat kepada SPRM hari Ahad lepas memaklumkan bahawa saya secara sukarela ingin membuat keterangan tambahan supaya boleh membantu siasatan supaya lebih menyeluruh dengan bukti-bukti lain yang tidak disoal siasat semasa tempoh mengambil keterangan minggu lepas,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.








