KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai tindakan undang-undang serta jumlah ganti rugi yang akan dituntut daripada syarikat pembekal susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu antikapal (NSM).
Menurut Bernama Menteri Pertahan Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil memandangkan kerajaan telah menjelaskan hampir 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak yang melebihi RM500 juta.
“Jawatankuasa khas peringkat kementerian telah ditubuhkan untuk memperincikan tuntutan yang bukan sekadar melibatkan pemulangan bayaran asal, tetapi juga ganti rugi akibat pelanggaran kontrak berkenaan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program PROWIRA Ready-to-Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, kementerian kini sedang membuat perkiraan bagi menuntut semula bayaran yang telah dibuat selain kerugian lain yang timbul susulan pembatalan kontrak tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian turut menilai beberapa alternatif bagi menggantikan sistem NSM berkenaan.








