SHAH ALAM — Pemuda Pas Selangor membidas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa larangan penternakan babi di Selangor akan menyebabkan komuniti penternak hilang sumber pendapatan dan berdepan kebuluran.
Menurut Malaysia Gazette, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, masih ramai rakyat lain yang sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan memerlukan perhatian kerajaan.
Beliau juga berkata antara golongan yang terkesan ialah pemandu e-hailing yang terpaksa menanggung kos operasi tinggi termasuk insurans kenderaan e-hailing yang mahal.
“Ramai lagi yang lapar kat luar sana, bukan penternak babi sahaja. Ada kawan-kawan kita bawa e-hailing yang berhempas pulas untuk teruskan hidup sebab insurans kenderaan e-hailing yang sangat mahal, kena habiskan beribu modal awal.
“Sepatutnya perut-perut yang lapar ini dijaga daripada beberapa orang penternak babi,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.
Beliau turut menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya menilai semula keutamaan dalam menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada komuniti penternak babi.
“Takkanlah sebelum ini untung berjuta-juta, keuntungan sampai RM20 juta yang dihasilkan, tiba-tiba penternak babi lapar,” katanya.








