KUALA LUMPUR — Kerajaan berpotensi mengurangkan kuota bulanan petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kepada 150 liter sebulan dalam usaha memastikan bekalan bahan api negara terus mencukupi.
Menurut The Edge , Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, data semasa menunjukkan majoriti rakyat Malaysia menggunakan petrol di bawah paras yang dicadangkan itu.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah menurunkan had subsidi petrol daripada 300 liter kepada 200 liter pada Mac lalu.
“Data secara konsisten menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter. Langkah seterusnya ialah 150 liter kerana 60 peratus penduduk menggunakan kurang daripada 150 liter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi fireside chat pada program Affin Market Outlook 2026: Propelling Malaysia Forward hari ini.
Menurut Liew, perbelanjaan bulanan kerajaan bagi subsidi bahan api meningkat hampir 10 kali ganda susulan kenaikan harga minyak mentah akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang memuncak sejak penghujung Februari.








