PUTRAJAYA: Tan Sri Azam Baki menggesa warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baharu agensi itu serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pentadbiran Ketua Pesuruhjaya baharu.
Menurut Awani, dalam amanat terakhirnya sempena hari terakhir beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam menegaskan bahawa sebarang cubaan mensabotaj kepimpinan baharu boleh dianggap sebagai perbuatan melemahkan organisasi sendiri.
“Berikan sokongan kepada Ketua Pesuruhjaya (KP) baharu. Biarlah beliau menjalankan tugas dengan lancar. Jangan sabotaj KP baharu kerana jika anda mensabotaj KP baharu, bermakna anda mensabotaj organisasi sendiri.
“Berikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Khusairi (Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM) serta dua lagi anggota pengurusan tertinggi kerana mereka akan meneruskan legasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu.







